Ng Jing Xuen gagal layak ke Maybank Championship 2025, fokus ke aksi di China
Pemain golf profesional wanita negara, Ng Jing Xuen terpaksa melupakan peluang beraksi di kejohanan berprestij Maybank Championship 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 30 Ogos hingga 2 September ini selepas menamatkan pusingan Kelayakan ASEAN di kedudukan keenam.
Menurut Jing Xuen permainan hari terakhirnya menyaksikan beberapa momen pasang surut.
“Saya dapat bogey di situ, satu lagi di lubang 14, kemudian birdie di lubang 16. Malangnya saya lakukan double bogey di lubang 17, sebelum menutup aksi dengan birdie di lubang terakhir. Agak malang, tapi itulah lumrah golf,”
katanya.
Ketinggalan hanya satu pukulan daripada kedudukan keempat, beliau mengakui strategi permainan dan pengurusan risiko sedikit kurang menjadi pada hari itu.
“Putting saya sangat baik, tapi strategi tidak begitu kemas. Walaupun hanya satu pukulan di belakang pendahulu, saya terima keputusan ini dengan hati terbuka.”
Dalam pada itu, biarpun mengakui peluang ke Maybank Championship mungkin tipis kerana pemilihan berdasarkan ranking di mana ketika ini beliau berada di tangga kelima atau keenam Malaysia, Jing Xuen tetap kekal positif.
Jelasnya, fokusnya kini beralih kepada kejohanan di China, termasuk LPGA China, selepas menamatkan saingan di tempat keenam di Guangdong dan muncul naib juara Q-School awal tahun ini.