Dominasi pemain Thailand di Kelayakan ASEAN Maybank Championship 2025
Kelayakan ASEAN bagi kejohanan berprestij Maybank Championship 2025 melabuhkan tirainya dengan kejayaan besar buat kem golf wanita Thailand apabila kelima-lima slot yang dipertaruhkan berjaya disapu bersih oleh wakil negara itu.
Bertempat di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), saingan dua hari yang bermula penuh intensiti menyaksikan 69 pemain profesional dan amatur dari seluruh rantau ASEAN berentap untuk menempah tiket ke kejohanan utama yang bakal berlangsung dari 30 Ogos hingga 2 September depan di lokasi yang sama.
Lima pemain tersebut adalah Kritchanya Kaopattanaskul (a) – 67, 70 (-7); Achiraya Sriwong (a) – 72, 67 (-5); Namo Luangnitikul (a) – 73, 71 (Par); Cholcheva Wongras – 75, 71 (+2) dan Kan Bunnabodee – 74, 72 (+2).
Bagi pemenang kelayakan, Kritchanya Kaopattanaskul, kejayaan ini menjadi detik bersejarah.
“Saya sangat gembira kerana berjaya layak. Ia amat bermakna kerana ini adalah jelajah profesional pertama saya di luar Thailand. Saya berharap dapat kembali bermain di padang yang hebat ini pada bulan Oktober nanti dan bertemu rakan-rakan Malaysia,”
katanya.
Kesemua pemain Thailand yang layak turut berkongsi rasa teruja kerana bakal bersaing bersama bintang nombor satu dunia, Atthaya Thitikul, yang juga rakan senegara mereka.
“Bagi saya, ia akan jadi seperti sesi ‘reunion’ dengan rakan lama. Kami semua mahu berikan aksi terbaik dan ini satu penghormatan besar bermain bersama idola seperti Gina,”
ujar salah seorang pemain, merujuk kepada Atthaya.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai keadaan lapangan sepanjang kelayakan kesemua pemain mengakui KLGCC yang terkenal sebagai salah satu padang golf terbaik di rantau ini tidak memberi laluan mudah kepada peserta.
Dari tee yang sempit, bunker strategik, fairway yang mencabar, hinggalah permukaan green yang memerlukan ketelitian, segala aspek memaksa mereka mengatur strategi bijak.
“Tiada lubang yang mudah di sini. Ada yang mendaki, menurun, dengan air di kanan dan OB di kiri. Tetapi green di sini sangat cantik — antara yang terbaik pernah saya mainkan,”
kata seorang pemain yang pertama kali beraksi di Malaysia.
Sementara itu, kelima-lima pemain menyatakan penghargaan kepada pihak penganjur kerana membuka peluang buat pemain ASEAN bertanding untuk slot ke kejohanan utama.
“Terima kasih kepada Maybank kerana menyediakan platform ini. Ia peluang yang amat berharga untuk kami bersaing di peringkat lebih tinggi.”
Dengan kelima-lima slot kelayakan menjadi milik wakil Thailand, para peminat pastinya tidak sabar menantikan persaingan sengit di Maybank Championship 2025 yang bakal menghimpunkan pemain terbaik dunia di Kuala Lumpur hujung Ogos nanti.