Newcastle hampir lengkap perpindahan Jacob Ramsey bernilai £40 juta

101

Newcastle United semakin hampir mendapatkan pemain tengah Aston Villa, Jacob Ramsey, dalam perpindahan bernilai sekitar £40 juta selepas kedua-dua kelab mencapai persetujuan secara prinsip. 

Dipetik dari BBC, hanya beberapa butiran akhir perlu dimuktamadkan sebelum pemain berusia 24 tahun itu menjalani pemeriksaan perubatan dan melengkapkan perpindahan ke St James’ Park.


Ramsey, bekas pemain skuad bawah 21 tahun England, telah menjaringkan 17 gol dalam 167 penampilan sejak debut bersama Villa pada 2019. 

Musim lalu, beliau menjadi tonggak penting di bawah kendalian Unai Emery.

Villa bakal bertemu Newcastle dalam aksi pembukaan Premier League pada Sabtu ini, menjanjikan pertemuan menarik di antara bekas dan bakal kelab Ramsey.

Musim panas ini, Newcastle turut mengukuhkan skuad dengan kehadiran Anthony Elanga dari Nottingham Forest dan Malick Thiaw dari AC Milan secara kontrak tetap. 

Selain itu, mereka meminjam penjaga gol England, Aaron Ramsdale, dari Southampton untuk semusim.

Perpindahan Ramsey dijangka memberi nafas baharu kepada jentera tengah The Magpies menjelang musim 2025/26.