MEL25 perkenal format baharu, sembilan permainan jadi pentas juara kebangsaan

100

Malaysia Esports League 2025 (MEL25) bakal menjadi titik perubahan besar dalam arena esukan negara dengan memperkenalkan format baharu yang lebih inklusif dan adil, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai bakat tempatan untuk menyerlah.

Anjuran Esports Integrated (ESI) dengan kerjasama Malaysia Esports Federation (MESF), MEL25 kini menggunakan sistem carta pendahulu kebangsaan yang merekodkan prestasi pemain dari Januari hingga Ogos 2025. 


Format ini diintegrasikan bersama MyLeague MESF, membolehkan pasukan dan individu mengumpul mata melalui kejohanan dalam talian atau fizikal, berbanding hanya bergantung kepada juara negeri seperti edisi terdahulu.

“Format baharu MEL25 ini adalah bukti komitmen Esports Integrated dalam mendukung visi strategik kerajaan untuk menyediakan platform yang lebih mampan dan menyeluruh dalam usaha mencungkil bakat esukan negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ESI, Ahmed Faris Amir.

Presiden MESF, Muhammad Naim Al Amin pula menambah: “Berbeza dengan format tahun lalu yang hanya bergantung kepada juara negeri, MEL 2025 tampil dengan sistem mata carta pendahulu melalui siri MyLeague dan MEL State Open. 

Pendekatan ini direka bagi memperluaskan peluang dan memberikan laluan yang lebih adil kepada pemain serta pasukan yang konsisten sepanjang musim.”

Peringkat akhir MEL25 akan berlangsung di ESI Hub, Spacerubix, Puchong dari 3 hingga 24 Ogos, menampilkan sembilan permainan termasuk MLBB, PUBG Mobile, Free Fire dan Tekken 8. Aksi juga boleh diikuti secara langsung di media sosial ESI.