Nafuzi Zain nafi gugur 3 tonggak utama, hanya tunggu ‘lampu hijau’ kelab

176

Ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Nafuzi Zain kekal tenang dan positif walaupun berdepan cabaran besar apabila tiga tonggak utama pasukan tidak dapat menyertai kem latihan awal menjelang Kelayakan Piala Asia B-23 2026.

Menurut Nafuzi, Fergus Tierney (Sabah FC), Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC) dan Aliff Izwan Yuslan (Selangor FC) antara yang masih belum mendapat pelepasan rasmi daripada kelab masing-masing. 


Nafuzi bagaimanapun menegaskan perkara itu bukan bermakna mereka disingkirkan.

“Bukan digugurkan, cuma untuk persediaan awal ini mereka tidak dapat bersama. Saya faham keperluan kelab kerana mereka pemain utama. Harapnya bila tiba FIFA Day, kita boleh gunakan khidmat mereka,”

katanya.

Ketiadaan tiga pemain berpengaruh itu pastinya memberi kesan terhadap keseimbangan skuad, namun Nafuzi percaya ia juga ruang terbaik untuk memberi peluang kepada pemain lain tampil menyerlah. 

Baginya, persaingan sihat di dalam pasukan adalah sesuatu yang penting untuk meningkatkan kualiti keseluruhan skuad.

Beliau turut menegaskan bahawa fokus utama kini adalah memastikan setiap pemain benar-benar bersedia dari segi fizikal, taktikal dan mental sebelum menghadapi kelayakan yang dijadualkan bermula pada 3 September.

“Kita ada jadual padat termasuk persiapan di Bangkok. Di sana kita akan bertemu Kuwait dan Oman sebagai ujian sebenar. Dari situ saya mahu lihat sejauh mana pemain mampu adaptasi dengan intensiti perlawanan antarabangsa.”

Nafuzi berkata tempoh latihan di Bangkok yang bermula 18 hingga 31 Ogos adalah fasa penting untuk membentuk keserasian skuad, selain memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti dalam kejohanan terdahulu.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perlawanan kelayakan Kumpulan F, Nafuzi mengakui Lubnan, Thailand dan Mongolia adalah lawan yang mencabar, oleh itu mereka perlu benar-benar bersedia.

“Untuk perlawanan pertama, kita akan bertemu Lubnan. Saya melihat mereka sebagai sebuah pasukan yang sangat baik dan berkualiti. Sebenarnya, semua lawan dalam kumpulan ini adalah pasukan yang kuat termasuk Thailand dan Mongolia. Jadi kita perlu benar-benar bersedia.

Lubnan tetap menjadi ujian besar buat kita, tetapi apa yang penting adalah persediaan yang rapi, dari segi taktikal dan juga mental. Kita mesti tampil dengan permainan terbaik jika mahu melangkah ke pusingan akhir.”

Sementara itu, Nafuzi mengakui tugasan ini bukan sesuatu yang mudah, namun percaya dengan kerja keras dan semangat berpasukan yang tinggi mereka akan buat yang terbaik untuk layak ke Piala Asia B-23 2026 di Arab Saudi.