Izat Zaki akui belum bersedia sertai ONE, fokus kumpul pengalaman antarabangsa
Atlet muaythai profesional negara, Izat Zaki, mengakui beliau masih belum bersedia untuk menyertai pentas berprestij ONE Championship walaupun sudah menerima tawaran kontrak.
Menurut Izat, keputusan itu dibuat kerana mahu memastikan dirinya benar-benar berada pada tahap terbaik.
“Nak kata rugi tu rugi, tapi takkan kita nak pergi kalah. Bila Izzat sedia nanti, siapa pun boleh,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Izat berkata demikian ketika ditemui pada Semi Final Mega Fight Night (MFN) di HELP University, Subang Bestari malam tadi.
Beliau hadir ke acara tersebut bagi memberi sokongan kepada jurulatih serta enam rakan sepasukan dari gimnya yang beraksi.
MFN menjadi tumpuan peminat seni bela diri tempatan menjelang Grand Final yang dijadualkan berlangsung Disember ini di Genting Highlands.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai penyertaannya dalam Byon Madness, Izat mengesahkan bakal beraksi sekitar Ogos ini sambil menunggu pengumuman rasmi.
Sekiranya berjaya mara, beliau berkemungkinan akan bertemu Brian Lawitan, namun Izat menolak dakwaan bahawa dirinya gentar berdepan lawan tersebut.
“Mana ada takut. Bagi siapa pun Izzat lawan. Cuma kalau boleh, jangan orang Malaysia. Kalau Indonesia boleh.”
Selepas Byon Madness, Izat bakal menyertai beberapa pertarungan lain di Titiwangsa serta kejohanan antarabangsa di Kemboja dan Thailand untuk menambah pengalaman.
Sementara itu, Izat juga meluahkan penghargaan kepada penyokong yang sentiasa memberi sokongan dan beliau berjanji tidak akan berhenti sehingga beliau dapat beraksi di pentas ONE.