RYFC julang kejuaraan B-14 Maxxim Elite Johor 2025, tewaskan Lion City Sailors

272

RYFC mencipta kejutan besar di Johor apabila menjuarai kategori B-14 Maxxim Elite Johor 2025 selepas menewaskan pasukan pilihan, Lion City Sailors, dengan jaringan tipis 1-0 pada aksi final penuh dramatik.

Pemilik kelab, Yap Thiam Hoi, meluahkan rasa teruja dengan pencapaian luar biasa skuad mudanya.


“Gembira, memang menakjubkan. Kita kalahkan pasukan yang pernah tumbangkan JDT Malaysia dan AMD Malaysia. Mereka beraksi dengan mutu tinggi, tapi anak-anak saya tunjukkan semangat luar biasa, macam kereta kebal, tak putus asa,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Bagi Yap, kemenangan itu bukan semata-mata soal kehebatan individu, tetapi hasil falsafah yang diterapkan dalam kelab.

“Budak saya bukan yang terbagus, tapi saya mahu jadikan mereka bagus. Hari ini mereka buktikan dengan semangat juang yang tebal.”

Dalam pada itu, RYFC telah mempamerkan prestasi cukup konsisten sepanjang kejohanan dengan kemenangan 3-0 di peringkat kumpulan, 4-0 di separuh akhir, sebelum mengatasi Lion City Sailors di pentas akhir. 

Lebih manis, mereka turut menyapu bersih anugerah Golden Boot dan Golden Glove.

Sementara itu, Yap mengakui tidak menyangka mampu muncul juara dalam tempoh hanya enam bulan menubuhkan pasukan ini.

“Saya jangka separuh akhir sahaja, tapi dengan motivasi yang betul, mereka buktikan segalanya mungkin. Saya yakin RYFC akan pergi jauh selepas ini.”