AC Milan intai Rasmus Hojlund
Pengarah sukan AC Milan, Igli Tare, mengesahkan kelab Serie A itu berminat untuk mendapatkan penyerang muda Manchester United, Rasmus Hojlund.
Dipetik dari BBC, pemain berusia 22 tahun itu tidak tersenarai dalam skuad perlawanan ketika United tewas 1-0 kepada Arsenal, sekali gus mencetuskan spekulasi hangat mengenai masa depannya.
Walaupun Hojlund sebelum ini menyatakan keinginannya untuk kekal di Old Trafford, peluangnya dijangka semakin terhad selepas United membawa masuk Benjamin Sesko dari RB Leipzig dengan yuran perpindahan besar bernilai £73.7 juta.
“Hojlund adalah pilihan yang baik untuk kami. Kami sedang menilainya, tetapi pasaran perpindahan sukar dijangka,” kata Tare kepada Sport Mediaset.
Beliau turut mengesahkan Milan juga berminat dengan penyerang Juventus, Dusan Vlahovic.
Dalam pada itu, jurulatih Ruben Amorim mengakui terdapat persaingan sengit di posisi serangan. Mason Mount diberikan peranan ‘false nine’ dalam aksi menentang Arsenal, manakala Sesko dan Joshua Zirkzee memulakan perlawanan di bangku simpanan.
Sesko akhirnya membuat penampilan sulung sebagai pemain gantian.
Amorim menegaskan, “Ia adalah perebutan tempat.
Rasmus memiliki ciri yang sama seperti Sesko, jadi kami perlu membuat pilihan.”