Lelaki hina Semenyo dikenakan larangan masuk semua stadium UK

46

Seorang lelaki berusia 47 tahun dari Liverpool berdepan tindakan tegas selepas ditahan kerana disyaki melakukan penghinaan berbaur perkauman terhadap penyerang Bournemouth, Antoine Semenyo, ketika aksi pembukaan Premier League menentang Liverpool di Anfield, Jumaat lalu.

Dipetik dari BBC, perlawanan tersebut terpaksa dihentikan seketika pada minit ke-29 selepas Semenyo memaklumkan insiden itu kepada pengadil. 


Tindakan pantas diambil pihak keselamatan dan individu berkenaan ditahan pada keesokan harinya oleh Polis Merseyside.

Menurut kenyataan rasmi, lelaki itu ditahan atas dakwaan kesalahan gangguan awam yang dipengaruhi oleh unsur perkauman. 

Bagaimanapun, dia telah dibebaskan dengan ikat jamin bersyarat.

Antara syarat ketat yang dikenakan termasuk larangan menghadiri sebarang perlawanan bola sepak rasmi di seluruh United Kingdom. 

Dia juga tidak dibenarkan berada dalam radius satu batu dari mana-mana stadium bola sepak yang ditetapkan sepanjang tempoh ikat jamin.

Kes ini sekali lagi menekankan komitmen pihak berkuasa dan Premier League dalam memerangi isu diskriminasi dan memastikan stadium kekal sebagai ruang selamat untuk semua penyokong.