Shopee Cup 2025/26 bermula: Debut JDT, Selangor uji juara bertahan Buriram

1,351

Saingan ASEAN Club Championship Shopee Cup 2025/26 membuka tirai minggu ini dengan deretan perlawanan tumpuan melibatkan kuasa besar bola sepak Asia Tenggara.

Pada Rabu, juara bertahan Thailand, Buriram United, bakal berdepan cabaran sengit daripada Selangor FC, yang membuat penampilan sulung dalam kejohanan ini selepas menamatkan saingan sebagai naib juara Liga Super Malaysia dan Piala FA musim lalu.


Tidak kurang menarik, Johor Darul Ta’zim FC (JDT) yang muncul juara treble Malaysia musim lalu, bakal mencipta sejarah dengan penampilan pertama dalam Shopee Cup. 

Mereka akan menentang juara Liga Perdana Singapura, Lion City Sailors, dalam aksi “Causeway Derby” yang dijangka penuh emosi di Singapura pada Khamis.

JDT membawa reputasi hebat selepas menguasai bola sepak domestik lebih sedekad dan kini berazam menterjemahkan dominasi itu ke pentas serantau. 

Bagaimanapun, misi mereka tidak mudah kerana Sailors mahu bangkit selepas tersingkir awal di peringkat kumpulan musim lalu.

Shopee Cup edisi kedua ini menghimpunkan 10 juara liga dan piala kebangsaan ASEAN, dibahagikan kepada dua kumpulan. 

Antara pertemuan lain termasuk Shan United FC menanti PKR Svay Rieng FC dalam Kumpulan B, manakala BG Pathum United bakal melayan kunjungan naib juara musim lalu, Công An Hà Nội FC.

Saingan dijangka sengit sejak perlawanan pertama dengan setiap kelab mahu membuktikan mereka layak dinobatkan sebagai raja kelab Asia Tenggara.