Debut manis Alexander-Arnold, Real Madrid benam Osasuna

97

Trent Alexander-Arnold memulakan langkah baharunya di La Liga dengan penuh bergaya apabila membuat penampilan sulung bersama Real Madrid dalam kemenangan tipis 1-0 ke atas Osasuna di Santiago Bernabéu. 

Dipetik dari BBC, pemain pertahanan kanan England itu sebelum ini sudah beraksi di Piala Dunia Kelab FIFA, namun aksi kali ini merupakan penampilan pertama di hadapan penyokong sendiri. 


Beliau disambut dengan tepukan gemuruh sebelum digantikan oleh Dani Carvajal pada minit ke-68.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh bintang Perancis, Kylian Mbappe, yang menyempurnakan sepakan penalti selepas beliau dijatuhkan dalam kotak penalti. 

Sepakan itu memperdaya penjaga gol Sergio Herrera sekali gus memastikan kemenangan sulung liga buat Real Madrid di bawah kendalian jurulatih baharu, Xabi Alonso.

Real Madrid, yang menamatkan saingan musim lalu di tangga kedua, jelas mendominasi perlawanan. Peluang turut hadir menerusi Dean Huijsen dan Eder Militao yang hampir menambah jaringan dari jarak jauh.

Turut melakukan debut ialah Alvaro Carreras, bek kiri bernilai £43 juta dari Benfica, serta pemain muda berbakat, Franco Mastantuono dari River Plate. 

Osasuna pula menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Abel Bretones dilayangkan kad merah di masa kecederaan.