Drama aksi pembukaan ACC: Buriram hampir tewas, Tampines & BG Pathum raih tiga mata

191

Saingan ASEAN Club Championship (ACC) Shopee Cup™ 2025/26 membuka tirai dengan penuh dramatik apabila juara bertahan Buriram United FC hanya mampu meraih satu mata selepas diikat 1-1 oleh Selangor FC dalam aksi Kumpulan A di Stadium Buriram.

Selangor terlebih dahulu mendahului pada minit ke-38 menerusi penyerang Brazil, Chrigor, namun harapan untuk mencipta kejutan lebur apabila Peter Žulj menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-96. 


Pemain tengah Austria itu turut dinobatkan sebagai Shopee Star of the Match.

Dalam aksi lain, Tampines Rovers FC dari Singapura bermula garang apabila menewaskan DH Cebu FC 3-1 di Manila. 

Gol-gol pasukan pelawat dijaringkan oleh Hide Higashikawa, Dylan Fox dan pemain gantian Trent Buhagiar.

Di Bangkok, BG Pathum United FC bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan naib juara tahun lalu, Công An Hà Nội FC, 2-1 walaupun beraksi dengan 10 pemain. 

Bintang kebangsaan Thailand, Chanathip Songkrasin, menjadi wira dengan dua jaringan selepas masuk sebagai pemain gantian.

Sementara itu, tumpuan kini terarah kepada aksi Kumpulan B pada Khamis ini yang mempertemukan juara treble Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT), menentang juara berganda Singapura, Lion City Sailors FC, dalam pertembungan penuh prestij di Tambak Johor.