Arsenal ‘curi’ Eberechi Eze, tinggalkan Spurs kecewa

118

Arsenal membuat kejutan besar di jendela perpindahan apabila berjaya mendapatkan Eberechi Eze daripada Crystal Palace, sekali gus menggagalkan usaha Tottenham Hotspur yang hampir memuktamadkan perpindahan penyerang England itu.

Dipetik dari BBC, Spurs dilaporkan sudah menyediakan tawaran termasuk pakej wang tunai serta Richarlison, namun Arsenal bertindak pantas sebaik mengetahui Kai Havertz berdepan kecederaan lutut yang boleh menjejaskan kekuatan serangan mereka. 


Daripada mencari jalan pintas melalui pasaran pinjaman, The Gunners sebaliknya mengeluarkan £60 juta (RM366 juta) untuk membawa Eze ke Stadium Emirates.

Perpindahan ini bukan sahaja dianggap tamparan psikologi kepada Spurs, malah menjadi mesej jelas bahawa Arsenal serius untuk mencabar kejuaraan Premier League musim ini serta mara lebih jauh dalam UEFA Champions League selepas kejayaan ke separuh akhir musim lalu.

Arsenal sebelum ini dikaitkan dengan Eze sepanjang musim panas, namun khabar angin itu reda selepas Ethan Nwaneri menandatangani kontrak baharu dan Noni Madueke dibawa masuk dari Chelsea. 

Namun, kecederaan Havertz mengubah perancangan Arteta, sekaligus menghidupkan semula minat mereka terhadap Eze.

Dengan langkah berani ini, Arsenal membuktikan mereka tidak mahu mengulangi kesilapan musim lalu.