Crystal Palace cipta sejarah, raih kemenangan sulung di Eropah
Crystal Palace membuka lembaran baharu dalam sejarah kelab apabila mencatat kemenangan pertama di pentas Eropah selepas menewaskan Fredrikstad 1-0 pada aksi pertama playoff UEFA Conference League di Selhurst Park, Khamis lalu.
Dipetik dari BBC, Jean-Philippe Mateta muncul wira pasukan apabila menanduk masuk gol bersejarah itu pada awal babak kedua, sekali gus memastikan Palace membawa bekalan penting menjelang aksi timbal balik.
Suasana penuh meriah diiringi bunga api menjadikan malam tersebut lebih bermakna buat penyokong yang telah menanti hampir tiga dekad untuk menyaksikan kelab mereka kembali ke pentas Eropah.
Namun, kegembiraan itu bercampur pilu apabila tonggak utama, Eberechi Eze, tidak diturunkan kerana perpindahannya ke Arsenal kian hampir dimuktamadkan.
Malah, ramai penyokong hadir dengan jersi “Eze 10” dan sepanduk penghargaan tanda terima kasih atas sumbangan lima tahunnya bersama kelab.
Pengurus Oliver Glasner turut mengesahkan Eze tidak lagi bersama skuad, dan fokus kini beralih kepada pengganti baharu.
Palace sebelum ini pernah beraksi di Piala Intertoto pada 1998 namun tersingkir kepada Samsunspor.
Kali ini, peluang lebih cerah menanti, malah Glasner yakin skuad bimbingannya mampu melakar kejayaan lebih besar di Eropah.
“Kemenangan pertama di Eropah sangat penting, kami kini berada di landasan tepat,” katanya.