Nidzam Jamil anggap kemenangan ke atas Selangor FC sebagai suntikan semangat buat Negeri Sembilan FC

303

Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, Nidzam Jamil menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas Selangor FC dalam aksi Liga Super sebagai hasil kerja keras pasukannya yang semakin menunjukkan kematangan walaupun masih banyak perkara perlu diperbaiki.

Menurut Nidzam, tiga mata berharga itu bukan sekadar kemenangan biasa, malah menjadi titik permulaan penting kerana ia adalah mata pertama yang diraih di laman sendiri musim ini. 


“Saya suka cakap, ini ‘first home point’ yang penting untuk kita. Kita ada dua babak yang berbeza, tapi apa yang saya suka ialah cara pemain cuba mencari jaringan dan tidak berpuas hati hanya dengan keputusan seri,”

katanya.

Nidzam turut mengakui bukan mudah berdepan Selangor yang memiliki kualiti tinggi serta momentum selepas pulang dari saingan AFC Champions League Two (ACL 2), namun semangat juang pemain Negeri Sembilan menjadi perbezaan.

“Sikap pemain-pemain senior seperti Esso, Takumi, Luis banyak mempengaruhi pasukan. Kita boleh pilih untuk bertahan selepas menyamakan kedudukan, tapi mereka tetap mahu buru gol kemenangan. Itu yang membezakan.”

Selain peranan tonggak berpengalaman, Nidzam memuji keberanian pemain muda seperti Haikal Danish yang membuat penampilan sulung, selain impak pemain gantian seperti Hadin dan Zainal yang berjaya menambah tenaga baharu dalam permainan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai detik sukar pada minit ke-80, Nidzam berkata ianya normal apabila menentang pasukan besar seperti Selangor yang memiliki ramai pemain berkualiti, malah ada antara mereka yang bakal beraksi di Piala Dunia.

“Kesilapan kecil memang berlaku, tapi bagaimana pemain memperbetulkannya jauh lebih penting.”

Pada masa sama beliau turut mengakui sokongan ribuan penyokong yang membanjiri stadium memberi cabaran besar kepada beberapa pemain baharu, namun pengalaman tonggak senior membantu mereka menyesuaikan diri.

Sementara itu, ditanya mengenai sasaran musim ini, Nidzam tidak mahu terlalu mendedahkan butiran kerana baginya perkara utama adalah membentuk skuad yang menjadi kebanggaan rakyat Negeri Sembilan. 

“Saya mahu setiap kali penyokong datang ke stadium, mereka rasa pasukan ini sudah memberikan segala-galanya untuk mereka. Hasil dan prestasi akan menyusul, tapi semangat itu mesti sentiasa ada.”