Mbappe mengganas, Real Madrid lakarkan kemenangan selesa di Oviedo

57

Real Madrid terus garang dalam saingan La Liga apabila menewaskan Oviedo 3-0, hasil dua jaringan Kylian Mbappe dan satu gol lewat permainan daripada Vinicius Jr.

Dipetik dari BBC, Mbappe, yang sebelum ini menjadi wira dengan gol tunggal menewaskan Osasuna, sekali lagi membuktikan kualitinya. 


Penyerang Perancis itu membuka tirai jaringan pada minit ke-37 dengan rembatan tepat dari luar kotak penalti sebelum menambah gol kedua pada minit ke-82 hasil penyudah kemas.

Ketua jurulatih Xabi Alonso membuat beberapa kejutan dalam kesebelasan utama apabila merehatkan Trent Alexander-Arnold dan Vinicius Jr di bangku simpanan. 

Dani Carvajal dipilih di posisi bek kanan, manakala peluang diberikan kepada pemain muda berusia 18 tahun, Franco Mastantuono, yang tampil bertenaga dalam serangan.

Vinicius yang dimasukkan kemudian melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada masa kecederaan.

Oviedo hampir mencipta kejutan apabila rembatan jarak jauh Kwasi Sibo terkena tiang pada minit ke-81, namun Real pantas menghukum lawan.

Kemenangan ini memastikan Real Madrid mengumpul enam mata penuh selepas dua perlawanan, sekali gus kekal seiring Barcelona dan Villarreal di puncak liga.