Arsenal sasar Piero Hincapie, pertahanan Leverkusen jadi buruan utama

88

Arsenal dilaporkan sedang mengintai khidmat pertahanan Bayer Leverkusen, Piero Hincapie, sebagai sasaran utama untuk memperkukuh bahagian kiri benteng pertahanan mereka pada jendela perpindahan musim panas ini.

Dipetik dari BBC, pemain antarabangsa Ecuador berusia 23 tahun itu menjadi pilihan utama selepas mempamerkan aksi konsisten bersama Leverkusen, dengan 166 penampilan sejak menyertai kelab tersebut pada 2021. 


Malah, beliau turut memainkan peranan penting dalam kejayaan Leverkusen menjuarai Bundesliga dan Piala Jerman musim 2023-24.

Menurut laporan BBC Sport, pasukan pencari bakat Arsenal telah lama memantau prestasi Hincapie. 

Difahamkan, pemain tersebut memiliki klausa pelepasan bernilai €60 juta (£52 juta) dan dikatakan berminat meninggalkan Jerman sebelum jendela perpindahan ditutup.

Setakat ini, Arsenal sudah berbelanja lebih £200 juta untuk pemain baharu, dan kini fokus menjual beberapa bintang termasuk Fabio Vieira, Reiss Nelson dan Oleksandr Zinchenko.

Dalam masa sama, Porto turut menunjukkan minat terhadap pertahanan tengah Arsenal, Jakub Kiwior. 

Tottenham pula pernah dikaitkan dengan Hincapie, namun sumber rapat menegaskan Spurs tidak sedang berusaha mendapatkan pemain itu buat masa ini.