FAM bakal adakan EGM pilih Presiden baharu selepas Joehari letak jawatan
Dunia bola sepak negara kembali menjadi tumpuan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disahkan berdepan kekosongan jawatan Presiden.
Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub, yang baru sahaja dipilih tanpa bertanding untuk penggal 2025-2029 pada Februari lalu, dilaporkan telah sah meletakkan jawatan.
Difahamkan, surat rasmi peletakan jawatan telah pun dihantar kepada sekretariat FAM dan pejabat Presiden di Wisma FAM, Kelana Jaya, juga sudah dikosongkan.
Perkembangan mengejutkan ini sekaligus mencetuskan persoalan mengenai hala tuju baharu badan induk bola sepak negara.
Dalam pada itu, menurut satu sumber Jawatankuasa Eksekutif FAM akan mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat untuk membincangkan serta mengesahkan peletakan jawatan tersebut.
Susulan perkara itu, satu Kongres Luar Biasa (EGM) dijangka akan diadakan bagi memilih pengganti Joehari.
Joehari, yang merupakan Presiden kelapan FAM dan individu pertama dari Sabah menerajui badan itu, menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebelum ini.
Namun, tempoh kepimpinannya berakhir lebih awal daripada dijangka selepas hanya beberapa bulan menduduki kerusi panas tersebut.
Buat sementara, jawatan Presiden akan dipangku oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, sehingga proses pemilihan baharu dijalankan.
Kini, tumpuan peminat bola sepak tanah air beralih kepada persoalan utama iaitu siapakah calon yang berani menggalas tanggungjawab besar menerajui FAM dan memacu bola sepak Malaysia ke tahap lebih gemilang?