Newcastle buntu cari penyerang baharu selepas dua tawaran ditolak
Newcastle United kini berada dalam dilema menjelang penutupan jendela perpindahan selepas dua percubaan mereka untuk mendapatkan penyerang baharu menemui kegagalan.
Dipetik dari BBC, tawaran bernilai £50 juta ke atas Jorgen Strand Larsen ditolak Wolves, manakala dua bidaan sebelum ini untuk Yoane Wissa juga tidak berjaya.
Strand Larsen, penyerang Norway yang musim lalu menjaringkan 14 gol ketika dipinjamkan ke Wolves, baru sahaja disahkan menyertai kelab itu secara tetap dengan nilai £23 juta.
Tidak mengejutkan apabila Wolves enggan melepaskannya, lebih-lebih lagi selepas kehilangan Matheus Cunha kepada Manchester United.
Pengurus Wolves, Vitor Pereira, menegaskan Larsen adalah tonggak penting yang kekal komited bersama skuad.
Newcastle sedang terdesak mencari pengganti Callum Wilson yang meninggalkan kelab bulan lalu.
Situasi bertambah rumit apabila Alexander Isak berlatih secara berasingan selepas menyuarakan hasrat menyertai Liverpool.
Beberapa sasaran utama turut terlepas daripada genggaman mereka – Hugo Ekitike memilih Liverpool, Benjamin Sesko menyertai Manchester United, manakala Joao Pedro berhijrah ke Chelsea.
Kini, Magpies hanya mempunyai masa terhad untuk menandatangani sekurang-kurangnya seorang penyerang sebelum 1 September.