Yusoff Mahadi dilantik Pemangku Presiden FAM, Kongres 2026 tentukan Presiden baharu

192

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan rasa berat hati mengesahkan bahawa Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Presiden FAM, baru-baru ini.

Ekoran itu, Jawatankuasa Eksekutif FAM telah mengadakan Mesyuarat Khas Kedua Penggal 2025-2029 di Wisma FAM, Kelana Jaya, yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi. 


Mesyuarat tersebut membincangkan hasrat Datuk Joehari sebelum sebulat suara menerima keputusan beliau untuk berundur, sebagai tanda menghormati pilihan peribadinya.

Jawatankuasa Eksekutif FAM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Joehari atas jasa, dedikasi dan komitmen beliau sejak mula bersama FAM sebagai Naib Presiden pada 2017 sebelum dipilih sebagai Presiden pada 15 Februari 2025.

Menurut Artikel 42 Perenggan 7 Statut FAM, sekiranya jawatan Presiden kosong, Timbalan Presiden yang paling lama berkhidmat akan memangku jawatan sehingga Kongres seterusnya yang dijadualkan tahun hadapan. 

Pada Kongres tersebut, ahli akan memilih Presiden baharu untuk baki penggal.

Sehubungan itu, mesyuarat berkenaan bersetuju menamakan Datuk Wira Mohd Yusoff sebagai Pemangku Presiden FAM berkuat kuasa serta-merta.