Hari ini kita menang, tapi fokus mesti teruskan perjuangan – Katsuhito Kinoshi

112

Selangor FC bangkit dengan penuh bergaya apabila berjaya menundukkan Terengganu FC 5-2 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium MBPJ, sekali gus meredakan kekecewaan selepas kekalahan menentang Negeri Sembilan FC baru-baru ini.

Ketua jurulatih, Katsuhito Kinoshi, jelas berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang dianggap berjaya melakukan transisi pantas dalam masa singkat.


“Ya, saya sangat berbangga dengan pemain-pemain saya kerana mereka berjaya melakukan transisi yang baik selepas kekalahan teruk menentang Negeri Sembilan. Hanya ada dua hari selepas perlawanan itu, mereka bekerja keras dan akhirnya berjaya meraih kemenangan. Saya mahu ucapkan tahniah kepada mereka,”

katanya.

Walaupun berjaya memperolehi kemenangan selesa, Kinoshi mengingatkan bahawa Selangor masih mempunyai ruang besar untuk diperbaiki, terutama menjelang bulan yang padat dengan jadual perlawanan.

“Kami mesti lebih kuat, sebab jadual bulan depan sangat ketat. Saya beri pemain sedikit rehat untuk ringankan tekanan fizikal dan mental, tambahan pula ada penularan flu dalam pasukan. Jadi tempoh rehat kalendar antarabangsa ini sangat penting untuk pulih.”

Dalam pada itu, Kinoshi turut mengulas mengenai cabaran konsistensi Selangor pada separuh masa kedua yang mana menurutnya bola sepak penuh dengan faktor yang perlu ditangani – kecergasan, mentaliti, taktikal, malah perubahan kecil sekalipun mampu mengubah hala tuju permainan. 

“Kita kena kenal pasti masalah, selesaikan satu demi satu. Dunia bola sepak sentiasa akan hadirkan cabaran baharu, yang penting kita ada keinginan untuk jadi lebih baik dan yakinkan penyokong bahawa Selangor sebuah pasukan hebat.”

Pengendali daripada Jepun itu turut memuji beberapa pemain yang menampilkan semangat juang luar biasa, termasuk Noor yang tampil dengan tekad tinggi meskipun mengalami batuk dan sakit tekak sebelum perlawanan.

“Dia beritahu saya, ‘Saya sedia berjuang’. Jadi saya katakan kepadanya, hari ini kamu bukan hanya pemain bola sepak, tetapi pejuang bola sepak. Dan dia buktikan itu di atas padang. Tahniah juga kepadanya kerana dipanggil ke skuad kebangsaan, semoga kembali tanpa kecederaan.”

Sementara itu, Kinoshi turut memberi pujian kepada  juga menyebut tentang Chrigor yang disifatkannya sebagai pemain bijak dan berjiwa besar, selain menganggap seluruh pasukan kini menunjukkan potensi sebenar selepas melalui tempoh sukar.

Kemenangan besar ini sekaligus menjadi isyarat jelas bahawa skuad Gergasi Merah tidak mahu lagi terjebak dalam rentak negatif, sebaliknya mahu terus mengekalkan momentum menjelang bulan yang penuh dengan cabaran.