Hatrik sempurna Chrigor Moraes bantu Selangor FC benam Terengganu FC 5-2
Pemain import Selangor FC, Chrigor Moraes, muncul wira Red Giants selepas meledak hatrik sempurna ketika membantu pasukannya menundukkan Terengganu FC 5-2 dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, malam tadi.
Penyerang dari Brazil itu dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan (MOTM) selepas menjaringkan gol melalui tandukan, kaki kanan dan kaki kiri – hatrik sulungnya bersama Selangor.
“Ini malam yang sangat baik untuk kami. Saya gembira dengan hatrik pertama saya. Menentang Terengganu bukan mudah, tapi kami bermula dengan sangat baik hari ini. Inilah bola sepak, sungguh luar biasa,”
ujarnya.
Mengulas mengenai tanggungjawab sebagai penyerang nombor 9, Chrigor mengakui tekanan itu besar tetapi dijadikan motivasi untuk terus tampil konsisten.
“Pasukan dan rakan sepasukan perlukan saya, dan saya juga perlukan mereka. Sebab itu saya sentiasa fikir tentang perlawanan, malah di rumah bersama isteri.”
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan gandingannya dengan Noor Al-Rawabdeh semakin serasi hasil perbincangan dalam latihan.
“Saya suka bola hantaran Noor, dia faham gaya saya, dan selebihnya saya selesaikan.”
Sementara itu, Chrigor menyuarakan keyakinan tinggi untuk cuba memperoleh kejayaan dalam semua kejohanan pada musim ini.
“Kami cuba untuk menang semua kejuaraan. Memang sukar, tapi penting untuk pasukan dan penyokong, jadi kami akan berikan segalanya.”