Perpindahan Marc Guehi ke Liverpool gagal di saat akhir

110

Hasrat Liverpool untuk mendapatkan pertahanan Crystal Palace, Marc Guehi pada hari terakhir jendela perpindahan akhirnya tidak menjadi kenyataan. 

Dipetik dari BBC, perjanjian awal bernilai £35 juta termasuk klausa 10 peratus hasil jualan semula sudah dipersetujui, malah pemain berusia 25 tahun itu telah memulakan pemeriksaan perubatan di London. 


Namun, Palace menarik diri kerana gagal mendapatkan pengganti selepas sasaran utama mereka, Igor Julio, memilih menyertai West Ham.

Palace hanya membenarkan dua pemain pertahanan masuk sebelum melepaskan Guehi. Mereka sempat melengkapkan dua pembelian – Jaydee Canvot dari Toulouse dan Christantus Uche secara pinjaman daripada Getafe.

Liverpool sebelum ini meletakkan Guehi sebagai sasaran utama selepas kehilangan Jarrell Quansah yang berhijrah ke Bayer Leverkusen. 

Malah, benteng pertahanan The Reds turut menjadi tumpuan selepas melepaskan enam gol dalam tiga aksi awal musim.

Guehi, yang menjaringkan gol menakjubkan ketika membantu Palace menewaskan Aston Villa 3-0 hujung minggu lalu, memilih untuk tidak mengulas masa depannya. 

Sementara itu, Liverpool tetap sibuk pada hari terakhir dengan menandatangani penyerang Newcastle, Alexander Isak, dalam perjanjian rekod British bernilai £125 juta.