Cklamovski mahu Harimau Malaya raih kemenangan berganda

209

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan fokus utama skuad kendaliannya kini adalah mempamerkan corak permainan terbaik dalam dua aksi antarabangsa Tier 1 menentang Singapura pada 4 September di Stadium Nasional Bukit Jalil serta Palestin pada 8 September di Stadium Sultan Ibrahim.

“Kalau ada apa-apa yang ingin saya katakan hari ini, saya hanya mahu kami bermain bola sepak terbaik menentang Singapura. Kami mahu menjaringkan sebanyak mungkin gol, kekalkan rekod bersih tanpa bolos, dan menang untuk negara,”

katanya.

Cklamovski turut berpuas hati dengan prestasi semasa pemain di Liga Super yang dilihat semakin meningkat berbanding musim lalu. 


Menurutnya, perkembangan positif itu perlu diteruskan kerana ia membantu memperkukuh skuad kebangsaan.

Mengulas mengenai skuad Singapura yang membawa beberapa muka baharu, beliau menegaskan fokus utama adalah pada pasukannya sendiri.

“Dengan penuh hormat, itu mereka, ini kita. Kita perlu terus membina kekuatan kita sendiri.”

Dalam pada itu, Cklamovski juga memberi bayangan akan melakukan penggiliran skuad, termasuk memberi peluang kepada pemain yang kurang minit antarabangsa.

“Setiap kali kita berkumpul adalah peluang untuk maju setapak lagi.”

Beliau turut menekankan bahawa kejayaan terdahulu menewaskan Vietnam dan persembahan konsisten menentang Cape Verde serta Nepal menjadi asas kepada identiti pasukan ketika ini.

“Kita tidak bergantung pada seorang pemain sahaja, tetapi kepada 11 pemain di padang.”

Cklamovski juga menyentuh pemilihan Hong Wan berbanding pemain lain dalam senarai simpanan, sambil memberi jaminan bahawa semua pemain dalam radar tetap dipantau prestasinya. 

Sementara itu, ketiadaan pertahanan muda, Ubaidullah Shamsul yang kini bersama skuad B-23 dianggap satu kehilangan, namun beliau menegaskan pemain itu kekal dalam perancangan pasukan menjelang Oktober.

“Buat masa ini, tumpuan penuh diberikan kepada Singapura dahulu, kemudian Palestin. Dua cabaran berbeza, tetapi inilah peluang untuk pasukan kebangsaan mara setapak lagi.”