Nafuzi Zain akui cabaran besar menanti tapi Harimau Muda sedia berjuang
Ketua Jurulatih skuad B-23 negara, Nafuzi Zain mengakui Malaysia berdepan cabaran getir dalam Kumpulan F Kelayakan Piala Asia B-23 2026 yang turut dihuni tiga pasukan berkualiti tinggi iaitu Thailand, Lubnan dan Mongolia.
Menurut Nafuzi, saingan kali ini menuntut komitmen penuh daripada semua pemain kerana tiada laluan mudah untuk mara ke pusingan akhir.
“Pertama sekali, saya ingin menyatakan rasa hormat saya kepada tiga pasukan yang berada di sini — Thailand, Lubnan, dan Mongolia. Saya fikir Malaysia berada dalam kumpulan yang sukar dan mencabar kerana ketiga-tiga pasukan lain sangat bagus.
Kami datang ke sini dengan usaha untuk memberikan segalanya demi layak ke pusingan akhir. Bagi saya, ini adalah kejohanan kedua saya selepas di Indonesia sebelum ini. Saya berharap kami dapat memberikan persembahan yang baik, dan menunjukkan bahawa kami bermain dengan cara yang bagus,
katanya.
Mengulas lanjut mengenai barisan pemainnya yang rata-rata masih muda dan kurang pengalaman di pentas antarabangsa, Nafuzi menegaskan semangat juang tinggi akan menjadi kunci kekuatan skuad negara.
“Walaupun kami mempunyai ramai pemain muda, kami akan cuba sedaya upaya untuk pusingan akhir.”
Dalam pada itu, Nafuzi turut menjelaskan situasi melibatkan tiga pemain utama iaitu Muhammad Ubaidullah Shamsul, Muhammad Aliff Izwan Yuslan, dan Fergus Tierney yang hanya dapat menyertai kem pasukan pada saat-saat akhir.
“Baik, tiga pemain kami baru sahaja tiba kerana Liga Super Malaysia masih berlangsung. Pasukan mereka memerlukan khidmat mereka, jadi mereka hanya dapat dilepaskan pada saat akhir, sekitar dua atau tiga hari sebelum kejohanan.
Namun, saya tidak bimbang kerana ketiga-tiga pemain ini pernah bersama saya ketika kejohanan di Indonesia. Kami sudah saling mengenali, jadi saya percaya ia tidak akan menjejaskan persiapan. Malah, ia peluang terbaik untuk mereka memberikan persembahan terbaik.”
Sementara itu, skuad negara akan membuka kempen menentang Lubnan pada Rabu, 3 September 2025 diikuti aksi bertemu Mongolia pada Sabtu, 6 September 2025, kedua-dua perlawanan dilangsungkan pada jam 5.00 petang (waktu Malaysia) dan pasukan tuan rumah iaitu Thailand pada Selasa, 9 September 2025 pada jam 8.30 malam (waktu Malaysia) di Stadium Thammasat, Bangkok, Thailand.