Disiplin & Intensiti J League Bantu Dion Cools Perkukuh Permainan

144

Pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools menegaskan pasukan berada dalam semangat terbaik menjelang aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Singapura pada Khamis, 4 September 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menurut Dion, walaupun jendela perlawanan kali ini singkat dengan jadual padat, skuad negara tetap berjaya memanfaatkan setiap sesi latihan untuk menajamkan keserasian.


“Kami sempat jalani beberapa sesi latihan yang bagus, suasana ceria, semua gembira dapat berkumpul semula. Kami benar-benar menantikan perlawanan esok,”

katanya.

Dion yang baru pulang dari saingan J League mengakui pengalaman di sana banyak membantunya dari segi intensiti serta disiplin.

“J League antara yang terbaik di Asia. Bermain di sana beri saya pengalaman tambahan yang saya harap dapat dibawa untuk membantu pasukan.”

Dalam pada itu, mengulas mengenai peluang bermain semula di Bukit Jalil di hadapan ribuan penyokong, Dion menyifatkannya sebagai momen istimewa yang tidak pernah diambil mudah.

“Saya harap kami mampu berikan persembahan yang boleh dibanggakan penyokong, sekali gus mencatat keputusan positif.”

Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan rekod bersih, sambil menegaskan ia adalah tanggungjawab seluruh pasukan, bukan pertahanan sahaja.

Kami sudah lakukan kerja yang baik setakat ini. Harap momentum ini dapat diteruskan.”

Sementara itu, aksi menentang Singapura dijangka menjadi ujian penting sebelum Harimau Malaya turun berdepan Palestin dalam satu lagi perlawanan kompetitif pada 8 September ini.