Djed Spence berpotensi jadi pemain muslim pertama wakili England
Pemain pertahanan Tottenham Hotspur, Djed Spence berpeluang mencipta sejarah sebagai pemain Muslim pertama menyarung jersi skuad senior lelaki England.
Dipetik dari BBC, pemain berusia 25 tahun itu dipanggil buat kali pertama ke kem Three Lions bagi aksi kelayakan Piala Dunia menentang Andorra di Villa Park dan Serbia di Belgrade.
Spence sebelum ini pernah mewakili England B-21 sebanyak enam kali, namun perjalanan kariernya tidak mudah apabila pernah dipinjamkan ke Rennes, Leeds dan Genoa sebelum berjaya menempatkan diri dalam kesebelasan utama Spurs musim lalu.
Menurut Spence, keimanannya menjadi sumber kekuatan sepanjang melalui detik sukar. “Saya banyak berdoa dan bersyukur kepada Tuhan. Dalam momen paling gelap hidup saya, saya percaya Tuhan sentiasa ada di sisi,” ujarnya.
Walaupun tidak merasakan tekanan tambahan kerana agamanya, Spence mahu kisahnya menjadi inspirasi buat generasi muda.
“Jika saya boleh lakukan, anda juga boleh. Tidak kira Muslim atau apa jua agama, dengan usaha dan keyakinan, segalanya mungkin.”