FA tidak akan rayu keputusan bebaskan Lucas Paqueta

49

Persatuan Bola Sepak England (FA) mengesahkan tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Suruhanjaya Kawal Selia Bebas yang membebaskan pemain tengah West Ham United, Lucas Paqueta daripada empat pertuduhan mengatur keputusan perlawanan.

Dipetik dari BBC, selepas siasatan panjang yang bermula sejak Ogos 2023, Paqueta didakwa pada Mei tahun lalu kerana didakwa sengaja menerima kad kuning untuk mempengaruhi pasaran pertaruhan. 


Pertuduhan itu melibatkan perlawanan Premier League menentang Leicester City pada 12 November 2022, selain aksi menentang Aston Villa, Leeds United dan Bournemouth pada tahun 2023.

Namun, suruhanjaya mendapati keempat-empat pertuduhan tersebut “tidak terbukti”. 

Keputusan ini sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tindakan FA yang tidak melibatkan pakar bebas dalam menilai data pertaruhan yang menjadi isu utama siasatan.

Walaupun bebas daripada tuduhan utama, Paqueta tetap didapati bersalah atas dua kesalahan melanggar Peraturan FA F3 kerana gagal memberikan maklumat serta dokumen kepada pihak siasatan. 

Hukuman terhadap kesalahan ini akan diumumkan tidak lama lagi.

Paqueta, yang menyertai West Ham dari Lyon pada Ogos 2022 dengan nilai awal £36.5 juta, tampil cemerlang apabila membantu kelab itu menjuarai Conference League pada musim pertamanya.