Harimau Malaya tanpa Facundo Garces, Dion Cools menentang Palestin
Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengesahkan bahawa dua pemain pertahanan utama, Facundo Garces dan Dion Cools, tidak akan menyertai skuad kebangsaan bagi aksi menentang Palestin.
Menurut Cklamovski, kedua-dua pemain itu akan kembali ke kelab masing-masing sebagai sebahagian daripada perancangan yang lebih besar untuk memastikan keseimbangan antara kesegaran pemain dan kesinambungan identiti permainan pasukan.
Facundo dan Cools turun beraksi dalam perlawanan menentang Singapura malam tadi di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menyaksikan skuad negara berjaya menang 2-1.
Cklamovski menegaskan bahawa walaupun terdapat kelemahan ketika asas permainan tidak dilaksanakan dengan baik, semangat juang pemain jelas kelihatan.
“Kadang-kadang tempo kita terlalu perlahan dan jarak antara pemain agak longgar, tetapi mereka bekerja keras, bertahan dengan baik dan akhirnya berjaya membawa kemenangan untuk negara,”
katanya.
Beliau turut menambah bahawa tiada perlawanan yang mudah, dan menentang lawan berkualiti memberi peluang untuk pasukan belajar serta berkembang.
Dalam pada itu, Cklamovski berkata ketiadaan Garces dan Cools tidak dianggap satu masalah besar Sebaliknya, ia membuka ruang untuk pemain lain tampil mengisi kekosongan dan membuktikan kemampuan mereka.
“Ya, itu memang dalam perancangan. Beliau akan kembali ke kelabnya, begitu juga Dion Cools. Kami mahu seimbangkan kesegaran pemain dan identiti pasukan. Ia penting untuk persiapan Oktober nanti.”
Beliau mengakui perlawanan menentang Palestin bakal menjadi cabaran yang berbeza, namun ia adalah ujian terbaik untuk menguji kekuatan kolektif pasukan.
Cklamovski juga mengulas mengenai prestasi Arif Aiman yang dianggap solid dari sudut permainan berpasukan walaupun tidak menghasilkan ‘magis’ seperti dijangka penyokong.
Baginya, Arif tetap menunjukkan profesionalisme dan semangat tinggi untuk Malaysia.
Sementara itu, fokus Harimau Malaya kini adalah memperbaiki tempo, menggerakkan bola dengan lebih pantas serta meningkatkan ketajaman serangan.
Tegasnya, kemenangan yang disertai pengajaran amat berharga, kerana ia akan membantu skuad negara membina identiti lebih mantap menjelang aksi seterusnya.