PSG kecewa kecederaan Dembele dan Doue, tuduh pasukan kebangsaan Perancis abaikan risiko
Paris Saint-Germain (PSG) meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pasukan kebangsaan Perancis selepas dua pemain mereka, Ousmane Dembele dan Desire Doue, mengalami kecederaan ketika aksi kelayakan Piala Dunia menentang Ukraine.
Dipetik dari BBC, menurut PSG, kecederaan tersebut boleh dielakkan sekiranya staf perubatan Perancis mengambil kira cadangan dan maklumat yang telah disediakan lebih awal oleh kelab.
Dembele kini disahkan bakal berehat sekitar enam minggu akibat kecederaan hamstring serius, manakala Doue pula dijangka tersisih selama empat minggu.
Kedua-duanya akan terlepas beberapa aksi penting, termasuk perlawanan pembukaan mempertahankan kejuaraan Champions League.
Dalam satu kenyataan rasmi, PSG mendedahkan mereka telah menghantar surat kepada Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF), menuntut koordinasi yang lebih telus dan kolaboratif dalam aspek perubatan.
Malah, pihak kelab menegaskan mereka telah menyerahkan maklumat mengenai beban kerja serta risiko kecederaan pemain sebelum kem latihan bermula, namun tidak dipertimbangkan oleh staf perubatan Perancis.
PSG menegaskan kejadian ini harus menjadi pengajaran untuk mewujudkan prinsip pencegahan yang lebih ketat, terutama bagi pemain yang masih menjalani rawatan.
Mereka menuntut langkah segera diambil bagi mengelakkan kejadian serupa berulang pada masa hadapan.
Dalam kemenangan 2-0 itu, Doue dikeluarkan pada separuh masa pertama, sebelum Dembele turut ditarik keluar pada minit ke-81 selepas menggantikannya.