Anson Yeo ketuai cabaran Malaysia di Kejuaraan Amatur Asia-Pasifik 2025

58

Bakat muda negara, Anson Yeo, bakal mengetuai cabaran tujuh pemain Malaysia di Kejuaraan Amatur Asia-Pasifik 2025 yang akan berlangsung dari 23 hingga 26 Oktober di Emirates Golf Club’s Majlis Course, Dubai.

Selain Yeo, Malaysia turut mempertaruhkan Zia Iqmal Abdul Rashid, Hariz Hezri, Maverick Chua, Farez Azihan, Joshua Lim dan Zubair Firdaus dalam usaha memburu sejarah baharu di kejohanan berprestij rantau ini.


Sejak diperkenalkan pada 2009, kejohanan yang dianjurkan bersama oleh APGC, The R&A dan Masters Tournament menjadi pentas utama pembangunan golf amatur di Asia-Pasifik. 

Juara kejohanan ini akan menerima jemputan ke Masters 2026 serta pengecualian ke The 154th Open, manakala tiga pemain terbaik layak beraksi di The Amateur Championship.

Yeo, kini pemain ranking ke-240 dunia, bakal membuat penampilan keempat berturut-turut selepas pencapaian terbaiknya tempat ke-29 pada edisi 2022. 

“Bermain di Masters dan The Open adalah impian setiap pemain golf. Peluang ini motivasi besar untuk saya bekerja lebih keras,” ujar pemain berusia 19 tahun itu yang sudah mengumpul 10 gelaran termasuk empat kemenangan tahun ini.

Turut mencuri tumpuan ialah debut tiga pemain muda – Maverick, Joshua dan Farez – yang mahu memanfaatkan peluang beraksi menentang bintang amatur Asia-Pasifik.

Dengan 42 negara mengesahkan penyertaan, kejohanan ini sekali lagi dijangka melahirkan bintang dunia seperti Hideki Matsuyama dan Cameron Smith yang lahir daripada pentas sama. Malaysia kini mengintai peluang untuk mencipta sejarah pertama di Dubai.