Sabah akan perbaiki midfield, fokus kekal di puncak LWN – Arziz Afizy
Pasukan Sabah Football Association (FA) Wanita terus menunjukkan ketahanan mental dan fizikal apabila berjaya mengikat MBSJ FC dengan keputusan seri tanpa jaringan dalam aksi Liga Wanita Nasional (LWN).
Walaupun tidak membawa pulang tiga mata penuh, pengurus pasukan, Arziz Afizy Rumsani menyifatkan keputusan tersebut sebagai sesuatu yang tetap positif buat skuad bimbingannya.
“Untuk permainan malam ini, kita berpuas hati dengan satu mata. Kedua-dua pasukan saling menyerang, tetapi rezeki jaringan tidak memihak kepada kita. Apa pun, insya-Allah untuk perlawanan seterusnya kita akan bangkit semula,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut Arziz Afizy, tumpuan kini diberikan kepada pusingan kedua LWN, di mana Sabah bakal berdepan Young Tigress di laman sendiri yang mana beliau mengakui terdapat aspek yang perlu diperbaiki, terutama di bahagian tengah pasukan.
“Kita ada seorang pemain import yang sangat baik, tetapi midfield kita tidak capai apa yang jurulatih mahukan hari ini. Ini akan diperbaiki untuk aksi seterusnya.”
Dalam pada itu, Arziz Afizy juga mengulas mengenai kecederaan pemain import Win Thiengi Tun yang terpaksa dikeluarkan, beliau memberi jaminan keadaan pemain berkenaan tidak serius dan bakal kembali beraksi pada perlawanan berikutnya.
Beliau pada masa sama bangga dengan barisan pertahan Sabah yang terus menjadi benteng kebal dengan kombinasi Siti Nurfaizah, Adeline, Jessica dan Juliana Barek.
“Kombinasi pertahanan kita sangat baik. Hingga kini, selepas enam perlawanan, kita belum lagi mengalami ball loss.”
Sementara itu, Arziz turut menyuarakan pandangan mengenai perjalanan LWN yang menurutnya masih banyak ruang penambahbaikan yang mana beliau menekankan perlunya pengurusan liga lebih tersusun agar saingan ini terus mendapat tempat di hati peminat bola sepak tempatan.
“Walaupun komuniti bola sepak wanita di Malaysia masih kecil, kehadiran penonton membuktikan ada tarikan besar. Di Sabah, crowd memang ramai dan di sini pun sambutan luar biasa. Ini membuktikan LWN ada potensi besar untuk dimajukan.”
Arziz turut berharap agar LWN menjadi platform pembangunan yang lebih mantap demi melahirkan pemain berkualiti.
“Kita ada ramai pemain muda, tetapi kualiti masih belum mencukupi. Itu cabaran utama yang perlu ditangani dari tahun ke tahun. Hanya dengan itu bola sepak wanita kita boleh melangkah lebih jauh.”