Hjulmand ganti Ten Hag sebagai ketua jurulatih baharu Leverkusen
Bayer Leverkusen mengumumkan pelantikan Kasper Hjulmand sebagai ketua jurulatih baharu selepas pemecatan Erik ten Hag minggu lalu yang hanya sempat mengendalikan dua perlawanan.
Dipetik dari BBC, bekas jurulatih Denmark itu menandatangani kontrak sehingga musim panas 2027 bersama kelab Bundesliga tersebut.
Hjulmand, 53, pernah mencuri tumpuan apabila membawa Denmark ke separuh akhir Euro 2021 sebelum tewas tipis kepada England pada masa tambahan.
Beliau mengakui teruja diberi peluang besar bersama Leverkusen dan berazam untuk membentuk masa depan kelab dengan gabungan pemain berpengalaman serta bakat baharu.
Pelantikan ini menamatkan tempoh tidak menentu selepas Ten Hag, bekas pengendali Manchester United, dipecat pada 1 September.
Ten Hag sebelum ini menggantikan Xabi Alonso, yang meninggalkan legasi gemilang apabila membawa Leverkusen menjulang gelaran berganda liga dan piala tanpa kalah pada musim 2023-24, termasuk kejuaraan Bundesliga pertama kelab.
Menurut pengarah sukan Simon Rolfes, melantik Ten Hag adalah satu kesilapan, namun mengekalkannya dianggap lebih berisiko.
Naib juara musim lalu itu kini berada di tangga ke-12 Bundesliga dengan hanya satu mata daripada dua perlawanan, dan Hjulmand dijangka memimpin aksi pertama menentang Eintracht Frankfurt Jumaat ini.