Yeray Alvarez digantung 10 bulan akibat ambil ubat larangan
Pertahanan Athletic Bilbao, Yeray Alvarez, berdepan penggantungan selama 10 bulan selepas didapati positif bahan terlarang canrenone, susulan kekalahan 3-0 kepada Manchester United di separuh akhir Europa League, Mei lalu.
Dipetik dari BBC, Canrenone adalah sejenis diuretik yang berfungsi sebagai agen penyamaran.
UEFA bagaimanapun menerima penjelasan Alvarez bahawa beliau tidak berniat mengambil bahan larangan itu, sebaliknya tersilap kerana menggunakan ubat pencegah keguguran rambut (alopecia) yang mengandungi canrenone.
Pemain berusia 30 tahun itu pernah disahkan menghidap kanser testis pada 2016, dan sejak itu beliau mengambil ubat berkaitan sebagai sebahagian rawatan jangka panjang.
Walaupun UEFA mengakui tiada unsur sengaja, Alvarez tetap disabitkan kesalahan melanggar peraturan anti-doping secara tidak sengaja.
Memandangkan beliau menerima penggantungan sementara pada Jun lalu, hukuman ini dikira bermula lebih awal.
Alvarez hanya dibenarkan kembali beraksi pada 2 April 2026, namun boleh menyertai sesi latihan bermula 2 Februari.
Sejak menembusi skuad utama Bilbao, Alvarez telah merekodkan 257 penampilan bersama kelab tersebut.