Newcastle United tegas batalkan tiket tidak sah untuk aksi Champions League

48

Newcastle United mengambil langkah tegas apabila membatalkan 45 tiket yang dibeli oleh High School of Dundee, hampir 200 batu dari Tyneside, bagi perlawanan Champions League menentang Barcelona di St James’ Park pada 18 September ini.

Dipetik dari BBC, menurut jurucakap sekolah berkenaan, mereka membeli tiket itu dengan niat baik selepas “didekati” pihak tertentu, namun dimaklumkan kemudian bahawa pembelian tersebut dibatalkan oleh penyedia sah. 


Difahamkan, tiket itu diperoleh melalui penjualan semula tidak sah oleh pemegang tiket musim, yang kini turut dibatalkan keahliannya.

Newcastle menjelaskan tiket yang dibatalkan itu akan dikembalikan kepada penyokong menerusi saluran rasmi kelab. 

Tindakan tersebut disambut baik oleh Newcastle United Supporters’ Trust yang menegaskan tiket sepatutnya menjadi hak penyokong tulen, bukan untuk mereka yang mahu mengaut keuntungan.

Setakat ini, 78 tiket musim dan keahlian telah dibatalkan kerana pelanggaran sama, manakala lebih 4,500 akaun sedang dipantau kerana aktiviti mencurigakan. 

Malah, lebih 130,000 cubaan bot untuk membeli tiket aksi menentang Barcelona berjaya digagalkan, membuktikan cabaran besar dalam memastikan ketelusan proses penjualan tiket.

Langkah ini sekali lagi menegaskan komitmen Newcastle United untuk melindungi penyokong sejati mereka.