Lima perlawanan hanya satu mata: Apa sudah jadi dengan Penang FC?
Musim baharu Liga Super 2025/26 sepatutnya menjadi medan kebangkitan untuk Penang FC berikutan mereka muncul sebagai antara pasukan terawal membuat persediaan rapi baik daripada aspek teknikal, taktikal, sehinggalah kepada soal pengurusan kewangan.
Pasukan Harimau Kumbang dilihat cukup stabil, malah mendapat pujian kerana berjaya membayar gaji pemain tepat pada waktunya, sesuatu yang sering menjadi isu bagi beberapa kelab lain.
Atas kertas, Penang kelihatan berada pada landasan terbaik untuk memberikan cabaran pada musim ini.
Namun realiti di atas padang jauh berbeza apabila dalam lima perlawanan awal Liga Super, Penang hanya mampu mengutip satu mata hasil daripada satu keputusan seri, manakala baki empat perlawanan berakhir dengan kekalahan.
Lebih perit, aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam menyaksikan mereka dibelasah 6-0 di Stadium Sultan Ismail, satu keputusan yang memalukan, apatah lagi mereka menjadi pasukan pertama musim ini dibolosi sebanyak itu oleh juara bertahan.
Keputusan buruk ini menimbulkan persoalan besar iaitu mengapa pasukan yang bebas daripada masalah kewangan tidak mampu menonjolkan prestasi konsisten?
Antara kemungkinan utama adalah faktor keserasian di mana ramai pemain baharu dibawa masuk, dan proses menyesuaikan diri mungkin mengambil masa lebih lama daripada jangkaan.
Selain itu, taktikal yang diterapkan jurulatih turut dipersoalkan, adakah ia sesuai dengan kekuatan sebenar pasukan, atau sekadar percubaan yang belum menampakkan hasil?
Lebih membimbangkan, prestasi hambar ini menjejaskan moral pemain dan hubungan dengan penyokong.
Suara-suara kritikan mula kedengaran lantang di media sosial, dengan ramai penyokong meluahkan rasa kecewa dan marah.
Mereka beranggapan bahawa kestabilan kewangan tanpa prestasi di padang hanyalah sia-sia.
Apa gunanya kelab bebas hutang dan berdisiplin, jika di atas padang pasukan gagal memberi cabaran?
Jika situasi ini berterusan, Penang bukan sahaja berisiko kekal di tangga tercorot, tetapi berdepan ancaman penyingkiran ke Liga A1 musim depan.
Dalam konteks Liga Super yang semakin kompetitif, setiap mata amat bernilai dan lima perlawanan awal sudah cukup untuk memberikan amaran bahawa Penang perlu segera mencari solusi, sama ada dari segi taktikal, motivasi, atau mungkin menilai semula barisan pemain yang ada.
Walau bagaimanapun, masih ada ruang untuk bangkit kerana musim ini masih panjang, dan pusingan kedua akan menjadi peluang untuk membuktikan bahawa Penang bukan sekadar pasukan pelengkap jadual. Semangat kebangkitan perlu dijelmakan segera sebelum keadaan menjadi semakin parah.
Kini, semua mata tertumpu kepada pengurusan, jurulatih, dan pemain Penang FC. Adakah mereka mampu menjawab persoalan ini dengan kebangkitan di atas padang, atau sejarah pahit penyingkiran akan kembali menghantui Harimau Kumbang?