Aaron Chia belum terfikir mahu keluar dari BAM buat masa ini
Pemain badminton beregu utama negara, Aaron Chia menjelaskan bahawa beliau tidak terfikir langsung untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) buat masa ini.
Menurut Aaron, sekiranya beliau mendapat tawaran daripada penaja luar dalam masa terdekat ini pun beliau akan tolak.
“Untuk sekarang pun jika saya dan Soh Wooi Yik dapat tawaran dari penaja luar pun kami akan tetap terus bersama BAM kerana kami ketika ini fokus untuk kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Walaupun kita masih tidak tahu siapa yang akan pergi Sukan Olimpik 2024, tapi saya dan Wooi Yik akan terus bersama BAM untuk fokus 2024 dahulu sebelum fikir perkara lain,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Selain fokus untuk ke Olimpik Paris, Aaron dan pasangan regunya turut menyasarkan untuk mereka naik ke ranking nombor satu dunia dan berharap sasaran mereka itu dapat dicapai pada tahun ini.
Dalam pada itu, Aaron yang menggalas tanggungjawab sebagai kapten ketika Kejohanan Berpasukan Asia 2022 (BATC 2022) sehingga berjaya membawa Malaysia merangkul pingat emas berkata beliau tidak kisah sekiranya tanggungjawab itu diberikan kepada perseorangan No.1 negara Lee Zii Jia semula.
“Untuk tugas sebagai kapten adalah keputusan dari pihak jurulatih dan jika untuk saingan Piala Thomas dan Sukan Asia jika saya masih diberi tanggungjawab sama saya akan beri komitmen seratus peratus.
Saya juga terbuka sekiranya Zii Jia diberi tanggungjawab sebagai kapten negara kerana keputusan siapakah yang akan menjadi kapten terletak di tangan barisan kejurulatihan. Saya tiada masalah.”
Sementara itu, Aaron turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat badminton tanah air yang tidak pernah berhenti memberi sokongan kepada mereka tidak kira ketika mereka menang atau kalah.