Totchtawan Sripan akui Selangor FC lawan sukar tapi tetap sasar 3 mata di MBPJ
Selangor FC bakal berdepan cabaran getir dalam aksi pembukaan Kumpulan G AFC Champions League Two (ACL2) apabila menerima kunjungan kelab gergasi Thailand, Bangkok United FC di Stadium MBPJ esok.
Ketua jurulatih Bangkok United, Totchtawan Sripan mengakui perlawanan ini istimewa kerana ia merupakan aksi rasmi pertama mereka menentang kelab Malaysia di pentas ACL2.
Sripan menegaskan pasukannya sudah membuat persiapan rapi termasuk menganalisis kekuatan Red Giants yang dibarisi ramai pemain kebangsaan serta individu berkualiti.
“Sejak tiba, kami cuba menyesuaikan diri dengan keadaan padang di sini, terutamanya padang rumput yang agak berbeza buat kami. Tapi kami cuba adaptasi sebaik mungkin dan akan bermain dengan cara kami sendiri untuk cuba dapatkan 3 mata,”
katanya.
Dalam pada itu, Sripan yang pernah beraksi lebih 110 kali bersama skuad kebangsaan Thailand, turut mengakui Selangor bukan lawan mudah.
“Sejak dulu lagi, pasukan Malaysia sentiasa memiliki pemain berkualiti. Selangor pula semakin meningkat dari tahun ke tahun sejak menyertai ACL2, dan mereka kini tampil sebagai pasukan yang lebih matang serta sukar ditentang.”
Mengulas lanjut mengenai kekuatan pasukannya, Sripan menegaskan Bangkok United membawa skuad terbaik ke Malaysia.
“Setiap pemain ada peranan penting dalam pasukan ini dan kami sudah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan esok.”