Dua gol Kane bantu Bayern Munich tundukkan Chelsea 3-1 di Champions League
Bayern Munich bermula garang dalam kempen Champions League selepas menewaskan Chelsea 3-1, dengan Harry Kane muncul wira menerusi dua jaringan.
Dipetik dari BBC, Chelsea yang kembali ke pentas elit Eropah selepas musim 2022-23 sebenarnya memulakan perlawanan dengan baik, tetapi kegagalan menyudahkan peluang awal oleh Pedro Neto dan Enzo Fernandez memakan diri.
Bayern kemudian menghukum kelekaan lawan apabila Trevoh Chalobah tertampan bola ke gawang sendiri.
Cole Palmer menghidupkan harapan The Blues menerusi rembatan ke penjuru atas pada penampilan ke-100 bersama kelab, tetapi kesilapan pertahanan sekali lagi meruntuhkan usaha mereka.
Penalti Kane hasil terjahan Moises Caicedo memberikan Bayern kelebihan, sebelum kesilapan hantaran Malo Gusto membolehkan penyerang England itu melengkapkan malam gemilang dengan rembatan melengkung minit ke-63.
Chelsea cuba bangkit namun jaringan Palmer pada penghujung permainan dibatalkan kerana ofsaid.
Bayern tampil lebih berpengalaman dan tersusun, sekali gus mengekalkan rekod kemenangan pada aksi pembukaan Champions League buat musim ke-22 berturut-turut.