Liverpool cipta kemenangan dramatik ke atas Atletico di Anfield

53

Liverpool membuka kempen Champions League (UCL) mereka dengan penuh dramatik apabila menewaskan Atletico Madrid 3-2 di Anfield, awal pagi tadi.

Dipetik dari BBC, Mohamed Salah menjadi pencetus kejayaan The Reds apabila meledak dua gol awal. 


Sepakan percuma bintang Mesir itu terkena Andrew Robertson untuk gol pertama sebelum menyempurnakan gerakan bersama Ryan Gravenberch bagi gol kedua dalam tempoh enam minit.

Namun Atletico enggan mengalah. Marcos Llorente merapatkan kedudukan pada penghujung babak pertama sebelum menyamakan kedudukan pada minit ke-81 menerusi voli yang terkena Alexis Mac Allister.

Alexander Isak yang membuat penampilan sulung bersama Liverpool gagal menyerlah sebelum digantikan selepas sejam, manakala Salah hampir menambah gol ketiga tetapi rembatan terkena tiang.

Ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Virgil van Dijk muncul wira dengan tandukan kencang pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan bermakna Liverpool.

Perlawanan itu dicemari insiden apabila jurulatih Atletico, Diego Simeone, dilayangkan kad merah kerana bertelagah dengan penyokong di tepi padang.