Kesilapan & masalah komunikasi jadi punca kekalahan Selangor FC – Kinoshi

138

Ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mengakui punca utama kekalahan pasukannya bukanlah semata-mata kerana kekuatan lawan, sebaliknya kerana kelemahan komunikasi dan kesilapan taktikal yang berulang.

Kinoshi berkata demikian selepas Selangor tewas 4-2 menentang Bangkok United FC dalam aksi peringkat kumpulan AFC Champions League Two (ACL2) di Stadium MBPJ petang tadi.


“Seperti yang saya katakan hari ini, perlawanan ini memang sukar. Tetapi sebenarnya, kami sendiri yang menjadikannya sukar. Disebabkan satu kesilapan kecil, mungkin nampak remeh tetapi kesilapan kecil inilah yang membunuh kami,”

katanya.

Tambahnya lagi, masalah komunikasi menjadi faktor paling ketara. Bermula dari sepakan gol sendiri, pemain lambat bergerak dan gagal membaca situasi, ditambah pula dengan pilihan hantaran yang salah membuka ruang mudah untuk pihak lawan menghukum mereka.

“Kalau lawan tidak bagus, mungkin ia tidak menjadi masalah. Tetapi di ACL2, pasukan seperti Bangkok United ada teknik baik, cepat membaca kelemahan, dan mereka memanfaatkannya.”

Skuad Gergasi Merah seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila mereka terpaksa bermain dengan 10 orang selepas seorang pemain pertahanan dilayangkan kad merah pada separuh masa pertama.

Dalam pada itu, biarpun tewas di halaman sendiri, Kinoshi tetap memuji semangat juang anak buahnya, walaupun ketinggalan mereka bangkit menjaringkan dua gol dan mencipta peluang untuk cuba menyamakan kedudukan.

“Itu menunjukkan mentaliti kami. Walaupun serba kekurangan, pemain tidak pernah menyerah kalah.”

Pengendali dari Jepun itu turut menekankan bahawa aspek taktikal perlu diperbaiki segera.  

“Separuh masa pertama kami bermain 11 lawan 11, tetapi selepas 10 orang, permainan kami lebih baik. Itu tidak normal. Jadi kami mesti ubah mentaliti untuk perlawanan seterusnya.”

Sementara itu, beliau pada masa sama menegaskan bahawa pasukan harus kekal bersatu dan tidak hilang motivasi walau apa jua keputusan.

Fokus mereka kini terarah kepada perlawanan menentang Kuching City FC sebelum menghadapi jadual padat termasuk aksi di Singapura menentang Tampines Rovers untuk aksi kedua ACL 2.