Harap Indonesia boleh layak ke Piala Dunia 2026 – Pratama Arhan
Pemain pertahanan kiri kebangsaan Indonesia yang kini beraksi bersama Bangkok United, Pratama Arhan, menzahirkan keyakinannya terhadap perkembangan bola sepak Indonesia serta harapan untuk melihat skuad Garuda menjejakkan kaki ke pentas Piala Dunia 2026.
“Saya berharap Timnas Indonesia terus berkembang, semakin maju, dan insya-Allah boleh layak ke Piala Dunia,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pratama berkata demikian selepas tamat perlawanan peringkat kumpulan AFC Champions League Two (ACL2) menentang Selangor FC di Stadium MBPJ yang menyaksikan Bangkok United meraih kemenangan 4-2.
Dalam pada itu, Pratama juga berkongsi pandangan tentang perjalanan kariernya di Liga Thailand.
“Alhamdulillah, sekarang saya bermain di Bangkok United dan saya sangat gembira. Memang situasi untuk saya bermain, tetapi secara keseluruhan perkembangan saya sangat baik.”
Pratama pada masa sama turut menjelas beliau tidak berdepan sebarang maalah untuk menyesuaikan diri bermain di Thailand dan menganggap ia sesuatu yang normal.
“Bahasa mungkin sedikit mencabar, tetapi tidak terlalu susah kerana rakan-rakan banyak menggunakan bahasa Inggeris. Jadi komunikasi berjalan dengan baik dan kami boleh saling kompak.”
Sementara itu, Pratama juga berharap agar pengalamannya beraksi di Thailand akan membantu dirinya untuk terus merebut tempat dalam skuad kebangsaan Indonesia.
“Insya-Allah, saya rasa ia boleh membantu saya untuk kekal bersaing di Timnas.”