Jose Mourinho kembali ke Benfica, tandatangani kontrak hingga 2027
Benfica mengesahkan pelantikan Jose Mourinho sebagai pengurus baharu dengan kontrak sehingga musim panas 2027, sekali gus menandakan kepulangan dramatik jurulatih berusia 62 tahun itu ke kelab yang pernah menjadi titik awal kerjayanya.
Dipetik dari BBC, Mourinho menggantikan Bruno Lage, yang dipecat selepas kekalahan mengejut Benfica kepada Qarabag dalam saingan Champions League.
Ironinya, Mourinho baru sahaja meninggalkan Fenerbahce kurang sebulan lalu selepas tewas kepada Benfica dalam perlawanan play-off kejohanan sama.
Bekas pengurus Chelsea itu memulakan karier bersama Benfica pada tahun 2000, namun hanya sempat mengendalikan 10 perlawanan sebelum berpisah akibat pertelingkahan dengan presiden kelab ketika itu. Kini, beliau kembali dengan misi yang lebih besar.
“Janji saya jelas – saya akan hidup untuk Benfica, untuk misi ini. Saya bukan yang penting, Benfica yang utama,” tegas Mourinho.
Walaupun Lage hanya tewas sekali musim ini, Benfica kini menghuni tangga keenam Liga Primeira, lima mata di belakang Porto dengan satu perlawanan berbaki.
Mourinho bakal membuat penampilan sulung keduanya bersama Benfica menentang AVS pada Sabtu, sebelum berdepan detik penuh emosi kembali ke Stamford Bridge menentang Chelsea dalam Liga Juara-Juara pada 30 September.