Yazli akui MUFT lesu, tekad bangkit pada aksi menentang Perlis
Malaysian University FT (MUFT) terpaksa akur dengan kekalahan 3-1 kepada Kedah FA dalam aksi Liga A1 di Stadium MMU Cyberjaya, namun ketua jurulatih mereka, Mohd Yazli Yahya mengakui pasukannya gagal mempamerkan prestasi sebenar.
Menurut Yazli, para pemain tampak lesu sejak awal perlawanan sehingga memberi ruang kepada lawan menguasai permainan.
“Hari ini saya lihat pemain agak keletihan dan kurang bermaya. Kesilapan mudah pula memberi tekanan berganda kepada kami,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Yazli turut menekankan kepentingan persiapan individu, termasuk kawalan emosi dan rutin sebelum perlawanan.
“Pada tahap ini, persediaan setiap pemain amat penting. Ada yang gagal mengawal emosi, menyebabkan prestasi mereka merosot.”
Dalam pada itu, walaupun kecewa Yazli tetap positif dengan perkembangan pasukan selepas lima perlawanan.
Katanya, MUFT semakin serasi dari segi corak permainan, namun ketiadaan pemain import nyata memberi kesan dalam penyudah.
“Kami cipta peluang, tapi kurang pengalaman menyebabkan gagal diterjemah kepada gol.”
Sementara itu, menjelang pertemuan menentang Perlis, Yazli optimis MUFT mampu bangkit.
“Saya harap pemain benar-benar bersedia. Perlis juga tanpa pemain import, jadi ini peluang terbaik untuk kami buktikan sesuatu.”