AFFC terus unggul, Kevin Lee Cooper puji ketahanan pemain
Armed Forces FC (AFFC) terus mengukuhkan cengkaman di puncak Liga A1 selepas mencatat kemenangan bergaya 3-1 ke atas Seoul Phoenix di Stadium MINDEF petang tadi.
Ketua jurulatih, Kevin Lee Cooper, melahirkan rasa puas hati dengan persembahan pasukannya walaupun mengakui terdapat beberapa cabaran sepanjang perlawanan.
“Kami terpaksa bekerja keras untuk mengekalkan momentum, malah ada masa kami menyukarkan diri sendiri. Namun ketahanan pasukan dalam bertahan menjadi kunci utama kemenangan hari ini,”
katanya.
Menurut Cooper, babak pertama menyaksikan AFFC agak cuai dalam menguasai bola, tetapi selepas jaringan pembukaan, pemain tampil lebih tenang dan mula menguasai permainan dengan baik.
“Saya mahu mereka lebih berani dengan bola dan tambah keyakinan. Mujurlah padang masih baik meskipun hujan, dan itu membantu kami bermain dengan lebih tersusun.”
Kemenangan ini memastikan AFFC kekal sebagai pendahulu liga dengan rekod empat kemenangan dan satu seri selepas lima perlawanan.
Dalam pada itu, Cooper juga mengulas mengenai gol tunggal pihak lawan yang dikatakan berpunca kesilapan sendiri tetapi tetap memuji usaha anak buahnya yang menutup ruang dan mengekalkan kelebihan hingga tamat perlawanan.
Beliau pada masa sama turut menekankan soal disiplin sebagai aspek penting untuk diperbaiki.
“Mereka masih muda dan kadang-kadang terlalu gementar. Tugas kami adalah membimbing mereka supaya belajar daripada kesilapan.”
Sementara itu, walaupun berada pada prestasi terbaik ketika ini, Cooper enggan terbawa-bawa dengan pencapaian semasa.
Baginya, yang lebih penting adalah memastikan AFFC stabil dari segi pentadbiran serta menyediakan persekitaran terbaik untuk pemain muda berkembang.
“Musim masih panjang, banyak pasukan berkualiti. Kami perlu terus konsisten dan kekal fokus.”