Aston Villa terus buntu, Sunderland bangkit dengan 10 pemain

51

Aston Villa terus buntu memburu kemenangan pertama Premier League selepas sekadar seri 1-1 menentang Sunderland yang beraksi dengan 10 pemain di Stadium of Light.

Dipetik dari BBC, perlawanan penuh drama itu menyaksikan pertahanan Sunderland, Reinildo, dilayangkan kad merah terus pada minit ke-33 kerana menendang Matty Cash selepas dijatuhkan pemain lawan. 


Walaupun kekurangan seorang pemain, Sunderland tetap bertahan dengan disiplin dan hampir mendahului pada awal babak kedua apabila tandukan Omar Alderete sekadar menggegar palang gol.

Villa akhirnya membuka tirai jaringan melalui rembatan deras jarak jauh Cash pada minit ke-60 yang gagal diselamatkan penjaga gol Robin Roefs. 

Gol itu seolah-olah menjadi titik kebangkitan Villa, namun mereka gagal mengekalkan momentum.

Sunderland memanfaatkan kelalaian lawan apabila Wilson Isidor menyamakan kedudukan menerusi sentuhan jarak dekat hasil hantaran kapten, Granit Xhaka.

Keputusan ini memastikan Sunderland kekal tanpa kalah dalam tiga perlawanan terakhir dengan lapan mata, manakala Villa terus terperangkap di zon penyingkiran dengan hanya tiga mata.