Daniel Imran yakin Panna Malaysia mampu bersinar di peringkat dunia
Atlet Panna negara, Daniel Imran, mencatat sejarah peribadi apabila beraksi buat kali pertama di World Panna Championship yang berlangsung di Copenhagen, Denmark.
Penyertaan ini merupakan impian yang telah diidamkannya selama lebih 11 tahun, dan akhirnya berjaya direalisasikan pada tahun ini.
Biarpun masih baru di pentas dunia, Daniel mengakui saingan di sana sangat mencabar kerana kebanyakan pemain sudah berpengalaman luas, malah ada yang seawal usia 12 tahun sudah mampu menyaingi pemain senior.
“Level di sana memang tinggi, dari segi kreativiti dan skill mereka sangat luar biasa. Tahun ini saya jadikan pengalaman, insya-Allah tahun depan saya cuba lebih baik untuk bawa nama Malaysia,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut Daniel, antara aspek yang mahu dipertingkatkan ialah latihan intensif, tahap kecergasan, kreativiti, serta membina gerakan unik atau signature move yang boleh memeranjatkan lawan.
Dalam pada itu, Daniel juga berharap agar sukan Panna lebih diberi perhatian di Malaysia kerana ramai bakat muda tempatan berpotensi besar.
Daniel berharap tahun depan sekurang-kurangnya empat wakil negara dapat bersaing di pentas dunia, termasuk Haikal (Kuantan), Haziq (Sarawak) dan Zeem Ahmad.
Sementara itu, beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Tengku Fahad dan Pahang Rangers atas sokongan dana yang membolehkannya menyertai kejohanan ini.
“Kalau ada minat, jangan segan. Cukup ada bola, dah boleh mula berlatih. Sukan Panna ni budaya yang boleh bawa nama Malaysia jauh.”