Walaupun UltraSel tak ada, kita tetap kena berjuang – Faisal Halim

174

Selangor FC meraih kemenangan bermakna 4-2 ke atas Tampines Rovers FC dalam aksi kedua Kumpulan A Shopee Cup 2025/26 di Stadium MBPJ malam tadi, dengan Faisal Halim tampil sebagai wira. 

Menjaringkan dua gol dan dinobatkan sebagai Man of The Match, Faisal menekankan semangat juang pasukan meskipun tanpa kehadiran UltraSel di stadium.


“Walaupun UltraSel tak ada, kita tetap kena berjuang. Sokongan mereka memang penting, tapi kemenangan ini adalah untuk kelab dan semua penyokong yang hadir,”

katanya.

Sebagai kapten, Faisal mengakui jadual padat dan tekanan selepas kekalahan sebelum ini memberi cabaran besar, namun semangat sepasukan menjadi kunci kebangkitan. 

“Saya tak sanggup menerima kekalahan. Pada malam ini semua pemain bekerja keras luar jangkaan, walaupun dalam keadaan penat.”

Dalam pada itu, Faisal juga menekankan bahawa kemenangan malam tadi merupakan titik kebangkitan penting buat Selangor. 

“Ini adalah turning point. Kita kena teruskan momentum ini. Memang saya tak nafikan, kesemua pemain bekerja keras, ikut apa yang jurulatih nak.

Saya rasa ini adalah perlawanan yang terbaik pada malam ini.”

Faisal pada masa sama turut menzahirkan penghargaan kepada Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah yang sentiasa memberi semangat kepada pasukan. 

“Walaupun kami kalah sebelum ini, Tuanku tetap memberi kata-kata positif. Malam ini, kemenangan ini juga hadiah buat Tuanku.”

Sementara itu, biarpun Faisal kini tampak seperti sudah kembali ke prestasi terbaiknya, namun beliau menegaskan dirinya masih belum sampai tahap terbaik dan berjanji akan terus bekerja keras demi pasukan.