Noh Rahman akui kesilapan transisi jadi punca kekalahan Tampines Rovers

146

Ketua jurulatih Tampines Rovers FC, Noh Rahman tetap mengambil sisi positif walaupun pasukannya tewas 2-4 kepada Selangor FC dalam aksi Kumpulan A, ASEAN Club Championship (Shopee Cup) di Stadium MBPJ malam tadi.

Menurut Noh Rahman, meskipun kecewa dengan keputusan, prestasi keseluruhan pasukan masih boleh dibanggakan kerana mereka berjaya mengekalkan corak permainan yang diinginkan. 


Namun, faktor transisi menjadi titik kelemahan utama yang akhirnya membuka ruang kepada Selangor untuk menghukum mereka.

“Sudah tentu kami tidak gembira kerana kalah, tetapi saya berpuas hati dengan cara pemain cuba bermain bola sepak kami. Hanya pada momen kritikal, khususnya ketika fasa transisi, kami terlalu mudah kehilangan bola dan gagal bertahan dengan baik,” 

katanya.

Mengulas mengenai dominasi Selangor di bahagian sayap, Noh Rahman mengakui kelalaian kecil memberi kesan besar kepada keputusan perlawanan. 

“Selangor memang ada ancaman besar di kawasan itu. Setiap kali kami hilang penguasaan, mereka mengambil kesempatan sepenuhnya.”

Dalam pada itu, Noh Rahman menegaskan kekalahan ini bukan sesuatu yang membimbangkan kerana ia adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. 

“Setiap perlawanan ada pengajaran. Di peringkat ini, kesilapan sekecil apa pun pasti dihukum. Kami akan jadikan pengalaman ini sebagai panduan untuk lebih bersedia pada aksi seterusnya.”

Kekalahan ini menjadikan misi Tampines Rovers lebih mencabar dalam saingan peringkat kumpulan, namun Noh optimis pasukannya mampu bangkit.