KRW sedia bas khas untuk penyokong, eratkan hubungan pasukan dan penyokong
Kelantan Red Warrior FC (KRW) terus berusaha membina semangat kebersamaan bersama penyokong setia mereka dengan memperkenalkan inisiatif baharu iaitu menyediakan bas khas untuk setiap perlawanan away dalam negara.
Ketua Pegawai Eksekutif KRW, Wan Fajarul, berkata langkah ini diambil bagi memastikan penyokong dapat hadir memberi sokongan padu di stadium meskipun perlawanan berlangsung di luar Kelantan.
“Kita ada buat satu perancangan baharu. Setiap game away kita akan sediakan satu bas untuk fan. Kita bergerak seiring, fan bersama pasukan. Contohnya, untuk aksi menentang Selangor FC II hari ini, kita sediakan bas pergi-balik termasuk tiket dengan harga RM90 sahaja,”
katanya.
Wan Fajarul turut mengumumkan pihak kelab kini sedang merancang pakej khas untuk perlawanan seterusnya menentang Perak.
“Sambutan nampak positif. Untuk Selangor ini pun kita rancang beberapa hari sebelum, tapi tetap mendapat sambutan baik. Untuk Perak nanti, ramai penyokong sudah bertanya di Facebook dan TikTok rasmi KRW. Jadi, kita akan susun dengan lebih teratur, mungkin tambah lagi bas jika perlu.”
Sementara itu, bekas Presiden KRW, Nik Hafiz Naim, mengakui kelab berdepan pelbagai cabaran sejak awal termasuk isu kes FIFA dan terbaru, masalah akaun media sosial yang digodam.
Menurutnya, perkara itu sedikit sebanyak menjejaskan fokus pemain serta jurulatih.
“Harap selepas ini perjalanan lebih lancar dan pasukan dapat fokus sepenuhnya kepada perlawanan. Dengan sokongan padu peminat, saya yakin KRW mampu bangkit dan melakar prestasi lebih baik.”
Sementara itu, inisiatif menyediakan bas khas ini bukan sahaja meringankan beban perjalanan penyokong, malah menjadi bukti komitmen pengurusan KRW untuk memastikan semangat “Red Warriors” terus membara di mana sahaja mereka beraksi.